Pernahkah para remaja mendengar akan satu hadith mengenai pembukaan Kota Constantinople? Hadith ini diriwayatkan ketika contoh manusia cemerlang iaitu baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sedang menggali parit ketika peperangan Khandak. Dalam keadaan yang getir dan memenatkan itu, Rasulullah SAW bersabda :
“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya”
[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]
[Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]
Bertitik tolak dari saat itu, para sahabat dan ummat Islam seluruhnya yakin dan percaya bahawa suatu hari akan tetap dibuka Kota Constantinople yang pada ketika itu dalam jajahan takluk Rom. Asas kepercayaan dan yakin bahawa umat islam mampu melakukannya telah membuahkan beberapa siri cubaan untuk membuka kota ini sejak dari zaman sahabat, zaman khulafa’ ar rasyidin dan akhirnya di zaman Sultan Muhammad al Fatih.
Era sahabat ra
Bertitik tolak dari hadith ini, Abu Ayub al-Ansari ra bersama barisan tentera Muslimin telah diutuskan oleh Muawiyah ra untuk bergerak menuju ke medan perjuangan dalam usaha merealisasikan kata nabi ini. Taqdir Allah mengatasi tadbir manusia, kemenangan ekspidisi itu ditangguhkan olehNya dan akibatnya, Abu Ayub telah menemui syahid dalam peperangan tersebut.
Era Khalifah Selepas Sahabat ra
Kegagalan “generasi terbaik” (era sahabat) tidak mematikan semangat juang muslimin. Sebaliknya, perjuangan diteruskan oleh khalifah-khalifah seterusnya, termasuklah bapa kepada Sultan Muhammad al-Fatih, Sultan Murad II. Namun, kesemuanya masih menemui kegagalan kerana masih belum menepati ciri-ciri sebaik-baik pemimpin dan tentera yang menjadi syarat kemenangan seperti yang dijanjikan oleh Nabi saw.
Era al-Fatih
Pada usia semuda 19 tahun, al-Fatih telah diberi mandat untuk memimpin kerajaan Islam Uthmaniyah. Semenjak usia kanak-kanak lagi, beliau telah dididik oleh Sheikh Ismail al-Kurani yang mengajarkannya al-Quran, Hadith, tauhid dan pelbagai cabang ilmu syariah telah melayakkan beliau menjadi pemimpin yang adil dan berakhlak mulia.
Selain Sheikh Ismail, beliau turut ditarbiyah oleh seorang yang alim bernama -Sheikh Ak Semsettin. Beliau bukan sekadar mengajar cabang-cabang ilmu syariah, sebaliknya al-Fatih turut diajar mengenali ilmu-ilmu sunnatullah seperti matematik, ilmu peperangan dan lain-lain. Sheikh Semsettin bukan sahaja bertindak sebagai gurunya di kala muda, malah dalam setiap keputusan dalam pemerintahan juga akan dirujuk kepada Sheikh Semsettin dalam memastikan setiap keputusan itu bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya. Beginilah telitinya Al-Fatih dalam menjaga hukum Allah.
Constantinople tetap menjadi idaman al-Fatih. Bukan nama dan kemasyhuran yang dikejar, tetapi perjuangan demi mengejar gelaran dari Nabi saw sebagai sebaik-baik pemimpin dan tentera yang menjadi matlamatnya. Oleh itu, beliau telah menyiapkan sepasukan mujahid seramai 250 000 orang demi merealisasikan tujuan ini. Para mujahid ini bukan sekadar dilatih dan dilengkapkan dengan senjata bersifat zahiriah, mereka juga turut dididik dengan taqwa untuk memenuhi kriteria yang dinyatakan oleh Rasulullah saw.
Saban hari al-Fatih bermunajat pada Allah swt mengharapkan bantuan dariNya. Namun ikhtiarnya tidak terhenti sekadar munajat, bahkan beliau sendiri pernah menyusup masuk ke dalam kota Constantinople secara rahsia, demi mengkaji secara dekat akan kekuatan kubu dan juga untuk memahami struktur sosial masyarakat Constantinople yang diperintah oleh Raja Byzantine. Usaha sebeginilah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana khalifah sebelumnya yang mungkin mejadi asbab kepada kegagalan, akibat gagal mengetahui kekuatan musuh.
Setelah merasa yakin dengan persediaan para tenteranya, dari segi keimanan dan kelengkapan, pada 6 April 1453M beliau memulakan serangan selepas rundingan bersama Raja Byzantine agar diserahkan kota itu secara damai ditolak mentah-mentah oleh pihak Byzantine. Peperangan berlanjutan selama 54 hari, namun kejayaan masih belum dicapai. Pada subuh, 29 Mei 1453M, semangat para mujahid telah ditingkatkan dengan ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi saw berkaitan dengan jihad. Mereka diingatkan agar mengikhlaskan niat. Akhirnya dengan lafaz, “Bergeraklah dengan keberkatan dari Allah,” Syeikh Semsettin melepaskan para mujahid untuk serangan “all out”. Dengan izin Allah, maka pada hari tersebut, dibukalah kota Constantinople, dibuka dari kezaliman Byzantine, dibuka dari jahiliyah kepada keadilan Islam. Masyarakat yang majoritinya terdiri dari orang-orang Kristian dilayan dengan saksama seperti yang diajar oleh Nabi saw. Nama Constantinople turut ditukar kepada Islambol yang membawa maksud Bandar Islam.
Begitulah beberapa rentetan peristiwa yang berlaku dalam sejarah umat islam yang membuahkan satu dasar kefahaman bahwa andai sekiranya yakin dan percaya pada diri dan janji Allah dan Rasul,nescaya ianya akan membuahkan hasil. Hanya masa yang menentukannya.
Thomas Alva Edison gagal lebih 10,000 kali sebelum berjaya mencipta mentol.Colonel Sanders pula gagal lebih 1000 kali sebelum berjaya mencipta resepi ayam goreng KFC. Adik beradik Wright pula terpaksa berhadapan denganpelbagai cemuhan daripada masyarakat sebelum akhirnya berjaya mencipta kapal terbang. Apakah persamaan yang ada pada mereka yang telah berjaya ini?
Mereka percaya bahawa walau apa sekalipon cabaran dan halangan, kejayaan pasti akan menjelma satu hari nanti.Mereka percaya, benar-banar yakin tanpa sedikitpon rasa ragu. Mereka sanggup menunggu saat kecemerlangan itu tiba walaupon terpaksa berhadapan dan melakukannya ribuan kali. Sebabnya ialah mereka PERCAYA.
Anda juga perlu percaya bahawa anda mampu lakukan sesuatu yang bermakna untuk diri dan yang paling penting untuk umat islam ini, keluarga, masyarakat dan negara. Dan akhirnya, ingatlah tanpa anda yang merubah apa yang ada pada diri anda, tiada siapa yang dapat membantu anda untuk melakukannya. Percayalah!
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: “Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dalam dirinya, niscaya aku juga akan mengingatinya dalam diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, maka Aku juga akan mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, maka Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, maka Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, maka Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari.” (Al-Hadith)
No comments:
Post a Comment