Monday, June 07, 2010

Pengasas GPTD berada di Turki


Turki, 4 Jun 2010 - Pengasas GPTD, Tn Hj Ahmad Azam Abdul Rahman bersama delegasi Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH)telah menyertai setengah juta rakyat Turki dalam solat jenazah pada hari Khamis, di Istanbul. Jenazah sembilan aktivis keamanan yang dibunuh oleh Israel dalam konvoi ke Gaza telah di bawa ke masjid di Masjid Fatih selepas autopsi dijalankan oleh Majlis Perubatan Forensik Turki.

Lapan kali solat telah didirikan untuk lapan daripada sembilan jenazah tersebut dengan diiringi ceramah ringkas dan laungan gemuruh dalam bahasa Turki yang mengutuk kekejaman Israel. Solat jenazah itu telah disertai oleh beberapa orang menteri dan kenamaan lain termasuk Menteri Tenaga iaitu Taner Yıldız, İstanbul, Governor Huseyin Avni Mutlu, Datuk Bandar İstanbul, Kadir Topbaş, tokoh pimpinan Felicity Party (SP) iaitu Numan Kurtulmuş and Bülent Yıldırım.

Mereka yang terkorban dalam konvoi keamanan ke Gaza itu ialah Cevdet Kılıçlar (38), Necdet Yıldırım (32), İbrahim Bilgen (61), Ali Heyder Bengi (39), Cengiz Akyüz (41), Cengiz Topçuoğlu (54), Cengiz Songür (47), Fahri Gündüz (43) dan Furkan Doğan yang berusia 19 tahun, warga Turki-Amerika yang baru sahaja berhijrah semula ke Turki iaitu di wilayah Kayseri.

Kebanyakan jenazah dihantar pulang ke kampung halaman mereka untuk disemadikan sebaik selesai solat. Seorang jenazah dikebumikan di Makam Syahid Edirnekepi, di Istanbul. Seorang lagi yang disolatkan di tempat lain iaitu di Masjid Beyazit juga disemadikan di Makam Syahid tersebut.


Menurut Tn Hj Azam Abdul Rahman, pengalaman menyertai perhimpunan ratusan ribu rakyat Turki untuk memberi penghormatan kepada aktivis-aktivis keamanan yang terkorban dan untuk mengutuk kekejaman Israel amatlah bermakna kerana dapat menyaksikan pengorbanan dan semangat perpaduan yang begitu tinggi terhadap masalah umat Islam di Palestin.

[Kedatangan pengasas dan delegasi WADAH ke Turki adalah sempena sambutan pembukaan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fatih]

[ Baca Seterusnya... ]

Sunday, March 14, 2010

Pertemuan Sdr. Afzan (Ketua Grup Al-Fatih) dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman



Pada 11 Mac 2010, Ketua Grup Al-Fatih, Saudara Faizul Afzan telah mengadakan pertemuan dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman, merupakan seorang pengkaji Ketokohan Sultan Muhammad Al-Fateh dan juga bakal menerbitkan sebuah buku Strategi Kuasa Kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh yang akan terbit pada 29 Mac 2010. Beliau merupakan lepasan penuntut UIAM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab UIAM.


Pernah menyandang kepimpinan dalam organisasi pelajar dan mahasiswa iaitu Mantan Setiausaha Agong BADAR dan LKP KISAS (1998-2001) . Mantan Setiausaha Agong GAMIS (2007-2009). Beliau kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat M.A (Human Sciences in Islamic History and Civilization). Bercita-cita melakukan kajian PhD dalam Sejarah Islam Usmaniah dan thesis mengenai pemikiran, karakter kepimpinan dan "the art of war" Sultan Muhammad al-Fateh (Mehmet II) serta sistem pendidikan Usmaniah yang wujud pada eranya dan Sultan Sulaiman Al-Qanuni.



Kini beliau merupakan Senior Motivator di I.P Minda Sdn. Bhd Training & Consultancy (www.ipminda.com).


Pertemuan Ketua Grup Al-Fatih dengan Ustaz Syaari bakal memberikan satu kolaborasi strategik di masa akan datang bagi memantapkan lagi kajian grup mengenai ketokohan Sultan Muhammad Al-Fatih agar nilai-nilai dan bahan kajian untuk diaplikasikan dalam bidang dan gerak kerja relawan GPTD. Dalam pertemuan tersebut, saudara Faizul Afzan mengikuti ceramah Ustaz Syaari bertajuk "Talk 2012" yang merupakan ceramah penting untuk difahami oleh generasi muda di abad ini.

Fakta Menarik Tentang Ustaz Syaari Abd Rahman
Meletakkan cita-cita 10 tahun lagi untuk membuka :
- Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AF)
- Institut Kajian Dasar Usmaniah
- Studio Animasi Darul Digital 1453
- Pawagam An-Nur (mengambil istilah kitab paling berpengaruh Badiuzzaman Said Nursi).

Kini sedang memegang taklifan sebagai Setiausaha Eksekutif Akademi Kepimpinan Pemuda DPPP dan ahli Institut Pemikiran Muda.

Beliau boleh dihubungi di laman blog :
[ www.rijal82.blogspot.com ]
[ www.read1453.blogspot.com ]
[ Baca Seterusnya... ]

LEGASI : Yavuz Sultan Salim 1 : Legasi Kepimpinan Mehmet II Al-Fatih (Datuknya)

Sumber : Ibnu Suhaili



PENGENALAN

Apabila kita bercerita tentang empayar Turki Uthmaniyyah, pastinya minda kita akan teringat dengan detik-detik kegemilangan empayar tersebut yang dikatakan penyambung kegemilangan Islam selepas tumbangnya institusi Khulafa Ar-Rasyidin. Empayar Turki Uthmaniyyah telah diasaskan pada tahun 1299 dan dirombak pada tahun 1924 yang membawa kepada kelahiran Turki moden berorientasikan sekularisme.



Jika kita selusuri rentetan perjalanan empayar tersebut, era kegemilangannya telah dicetuskan oleh Sultan Muhammad II Al-Fatih yang telah menawan Kota Constatinople pada tahun 1453. Kejayaannya menawan kota suci dan markas utama golongan Kristian Ortodoks ini telah menjadi pemacu kepada keagungan empayar Turki Uthmaniyyah. Momentum ini diteruskan seterusnya oleh cucunya iaitu Sultan Salim 1 yang telah mencatatkan rekod dalam sejarah empayar Turki Uthmaniyyah sebagai khalifah pertama di samping menjadi pelindung Kota Mekah dan Madinah.

Hal ini berikutan kejayaannya menakluki kerajaan Mamluk di Mesir yang ketika itu mempunyai keturunan khalifah-khalifah Bani Abbas setelah kejatuhan Baghdad, iaitu Khalifah Muttawakkil.

Kedua-dua tokoh inilah telah memartabatkan keagungan empayar Turki Uthmaniyyah melalui sumbangan mereka terutamanya dalam bidang ketenteraan dan perluasan empayar. Dengan karisma yang tersendiri di samping ketokohan dalam memainkan peranan sebagai negarawan, kedua-dua tokoh ini turut mempunyai kredibiliti sendiri menjalankan pentadbiran dan berjaya menjalankan sistem ekonomi dan sosial secara mapan berteraskan kepada ajaran Islam. Tidak hairanlah kedua-duanya diiktiraf sebagai “Penakluk, Pembuka, Khalifah dan Pelindung” kerana sudah terang lagi bersuluh kejayaan mereka adalah berorientasikan perluasan empayar dan pengurusan pentadbiran negara yang cekap meliputi ekonomi dan sosial.

LATAR BELAKANG
Umum mengetahui bahawa keagungan setiap tokoh seperti di dalam kegemilangan empayar Turki Uthmaniyyah iaitu Sultan Muhammad II Al-Fatih dan Sultan Salim 1 yang kemudiannya digelar sebagai Khalifah semestinya telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang telah membentuk keperibadian mereka. Ketokohan dan keistimewaan kedua-duanya akan dikupas secara terperinci bagi membuktikan keagungan mereka sebagai pemerintah empayar Turki Uthmaniyyah.

SULTAN MUHAMMAD II AL- FATIH
Muhammad Al-Fatih merupakan seorang tokoh Islam terkemuka zaman Uthmaniyyah yang banyak menyumbang kepada usaha mendaulatkan Islam. Baginda diberi gelaran Al-Fatih kerana kejayaan baginda menakluki kawasan-kawasan baru di Eropah Timur dan sebahagian besar Asia terutamanya Kota Constantinople. Baginda merupakan seorang sultan yang sangat berkarisma dan berwawasan tinggi. Sultan Muhammad Al-Fatih dilahirkan pada 29 Mac 1432 di Edirne dan semasa kelahirannya, ayahanda baginda iaitu Sultan Murad II sedang membaca Al-Quran pada surah Al-Fath ayat satu.

Surah Al-Fath ayat satu membawa maksud :
“Sesungguhnya kami telah memberikan padamu kemenangan yang nyata”.

Hal ini merupakan sebuah karamah yang diberikan Allah S.W.T kepada baginda dan peristiwa ini memberi petanda bahawa baginda merupakan adalah pemimpin yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam sebagaimana yang disebutkan dalam hadis nabi. Kekuatan diri Sultan Mehmed Al-Fatih terletak pada kekuatan peribadi baginda. Baginda mempunyai personaliti yang mantap dan memiliki karisma pemimpin yang unggul. Keperibadian baginda yang mulia terserlah melalui didikan teguh dan berterusan sejak dari usia yang masih muda. Baginda telah dididik dengan baik oleh murabbinya dan ayah baginda iaitu Sultan Murad II telah melantik ulama-ulama terbaik ketika itu untuk mendidik Sultan Muhammad II Al-Fatih dalam usaha membentuk baginda menjadi insan yang berkeperibadian unggul dan mulia.

Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani merupakan antara ulama yang terulung yang dilantik oleh Sultan Murad II untuk mendidik baginda. Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani ini menjadi murabbi baginda dan sebagai guru Asy- Syeikh Muhammad banyak memberi penekanan terhadap pembinaan spiritual, mental dan fizikal Sultan Muhammad Al- Fatih sehingga menjadi individu yang sangat baik. Sultan Muhammad Al-Fatih bersikap dingin dan sinis terhadap guru-guru baginda sebelum Asy-Syeikh Muhammad, namun kebenaran yang diberikan oleh Sultan Murad II kepada beliau untuk memukul Sultan Muhammad Al-Fatih telah menimbulkan kesedaran di dalam diri Sultan Muhammad Al-Fatih untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. .

Selepas itu, kerana didikan yang diberikan oleh Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani membolehkan baginda menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat. Pada usia 19 tahun Sultan Muhammad Al-Fatih telah menaik takhta menggantikan ayahnya. Sebaik sahaja menaik takhta baginda memulakan persiapan untuk menjalankan usaha penaklukan khususnya penaklukan ke atas Kota Constantinople. Keperibadian baginda juga terserlah melalui usahanya untuk mendidik tentera dan rakyatnya agar menjadi orang-orang yang bertaqwa. Seluruh tentera dan rakyatnya dididik agar sanggup bangun malam dan merintih munajat pada Allah S.W.T. Sebaliknya di siang hari mereka ibarat singa-singa yang berjuang di jalan Allah.

Di samping memiliki keperibadian yang tinggi baginda juga pakar dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa iaitu bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin ketika berumur 21 tahun. Kelebihan-kelebihan yang dimiliki oleh Sultan Muhmmad Al-Fatih menjadikannya sebagai seorang pemimpin yang cukup berkaliber sehinggakan digelar sebagai pemimpin agung oleh sarjana Barat dan adalah tidak menghairankan jika baginda dianggap sebagai tunggak kemajuan Empayar Turki Uthmaniyyah.

SULTAN SALIM 1
Dengan berakhirnya era pemerintahan yang serba lembut hati oleh Sultan Bayazid II, telah bermulalah satu zaman kebangkitan semula di mana pemerintahan Turki Utmaniyyah mula menunjukkan belangnya kepada seantero dunia terutama kepada kerajaan-kerajaan di Asia Tengah. Pemulanya ialah Sultan Salim 1 yang merupakan pemerintah ke-9 dalam sejarah pemerintahan empayar Turki Uthmaniyyah.

Selepas kematian ayahnya, Sultan Salim 1 mulai menjalankan proses pemerintahan antara tahun 918-926 H ( 1512-1520M ). Tarikh ini sebenarnya menyamai tarikh penubuhan Daulah al-Safawiyyah di Iran dan tarikh ini juga merupakan penanda kepada bermulanya pertarungan panjang melibatkan kedua-dua buah negara. Salim 1 dikenali ataupun popular sebagai “The Grim” atau “Yavuz” kerana ketegasan baginda dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah dalam kerajaan Turki Uthmaniyyah. Baginda merupakan anak kepada Sultan Bayezid II dan telah dilahirkan pada tahun 1460 di Amasya. Baginda telah menaiki takhta pada tahun 1512 dan menjadi Sultan selama 8 tahun.

Pada permulaan baginda menaiki takhta, baginda telah menghadapi konflik dalaman dan luaran yang menentang kekuasaannya. Konflik dalaman yang tercetus ialah apabila baginda mendapat tentangan daripada saudaranya sendiri iaitu Ahmed dan Korkhand. Pada masa yang sama, Ahmed telah menduduki kawasan yang dikenali sebagai Brusa dan Salim 1 telah mengambil inisiatif untuk menentang Ahmed di Brusa. Akhirnya beliau memenangi peperangan tersebut dan Brusa berada di dalam genggamannya. Perang saudara seperti ini sudah menjadi perkara rutin dalam pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Ahmed telah melarikan dirinya untuk membina semula asas kekuatannya bagi menentang Salim 1.

Salim 1 seorang yang agak luar biasa sifatnya kerana boleh mengetahui dan mengesyaki sesuatu yang agak pelik berkenaan dengan para pegawai pentadbirannya. Beliau mendapati terdapat sebilangan daripada pegawainya yang telah melakukan pengkhianatan terhadapnya. Disebabkan memiliki ketegasan tinggi dalam menjalankan pemerintahan di samping menerima jolokan sebagai “ The Grim” yang bererti ketegasan, berdarah perang, ganas dan keberanian yang nyata beliau telah mengenakan hukuman mati ke atas mereka yang terlibat dalam konspirasi tersebut.

Beliau juga pernah dikatakan akan membunuh sesiapa sahaja asalkan ada perasaan curiga terhadap individu tersebut. Dengan sifat yang luar biasa ini, nescaya para pembesar dan rakyatnya akan takut untuk memberontak dan inilah sebenarnya menjamin keamanan dan kesejahteraan empayar Turki Uthmaniyyah.

Selain itu, Salim 1 merupakan perintis kepada penggunaan gelaran sultan Turki Uthmaniyyah yang pertama menggunakan gelaran Khalifah. Sultan Salim 1 telah menyatakan bahawa beliau berasakan sebagai sebuah kerajaan Islam yang berstatus empayar, tidak lengkap sekiranya tidak menjadi pelindung kepada kedua-dua buah kota suci umat Islam iaitu Kota Mekah dan Madinah. Akhirnya gelaran ini dianugerahkan kepada baginda setelah baginda menakluki kerajaan Mamluk yang mempunyai kuasa dan simbol kepada pemegang amanah ke atas kedua-dua kota suci tersebut. Di Mesir terdapat keturunan khalifah-khalifah yang sebelumnya yang telah menetap di sana setelah berakhirnya kegemilangan kerajaan Khalifah Bani Abbasiyyah.

Khalifah yang terakhir iaitu Al-Mutawakkil Alallah dikatakan memiliki beberapa alat kebesaran khalifah iaitu bendera Nabi, burdah Nabi serta pedang yang digunakan oleh Nabi semasa menyertai peperangan. Kejayaan baginda ini dalam meluaskan empayar seterusnya menjadi pelindung kepada kedua-dua kota suci tersebut merupakan kejayaan besar dalam empayar Turki Uthmaniyyah dan perintis Khalifah kepada sesebuah kerajaan di mana sultan-sultan seterusnya selepas baginda juga mendukung dan membawa gelaran khalifah atas kejayaan baginda ini.

Sesungguhnya kejayaan baginda bukanlah hanya dalam meluaskan empayar sahaja tetapi dalam merencanakan prinsip atau ketegasan kerajaan Turki Uthmaniyyah terhadap tanggungjawab dalam mengamalkan ajaran agama Islam yang benar iaitu berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sultan Salim 1 merupakan pejuang Islam yang menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai asas kepada pemerintahan baginda dan inilah yang menyebabkan baginda berperang dengan Shah Ismail di Iran yang bermazhab Syiah dan kerajaan Mamluk di Mesir. Kita sedia maklum bahawa Nabi Muhammad S.A.W pernah menyampaikan pesanan terakhir baginda di dalan Haji Wida terakhir di Mekah sebelum kewafatannya.

Baginda telah menegaskan bahawa sekiranya umat Islam tetap berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, maka mereka tidak akan sesat selamanya. Oleh sebab Sultan Salim 1 seorang pengamal Islam yang mengamalkan prinsip tersebut, baginda tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak di luar batasan agama serta tidak mengamalkan Islam seperti mana seruan Nabi Muhammad S.A.W dan seterusnya berkonspirasi dengan pihak yang beragama lain bagi mengancam keselamatan empayar baginda dan ini telah ditunjukkan dengan penyerangan ke atas Kerajaan Mamluk yang memberi bantuan kepada Shah Ismail.

KETOKOHAN SERTA PERANAN MUHAMMAD AL-Fatih DAN SALIM 1 DALAM MEMPERTAHANKAN KEGEMILANGAN TURKI UTHMANIYYAH.

Dalam menjana kemajuan dan kepesatan empayar Turki Uthmaniyyah, keperibadian atau ketokohan seseorang pemimpin menjadi pemacu dan penggerak kepada pembangunan serta kegemilangan empayar tersebut. Muhammad Al-Fatih dan Salim 1 ternyata tidak dapat lagi disangkal kerana masing-masing mempunyai ketokohan yang tersendiri dan disebabkan kecemerlangan mereka inilah menjadikan empayar Turki gah di mata dunia.

KETENTERAAN DAN PENAKLUKAN
Jika kita mengimbau ke zaman semasa pemerintahan Turki Uthmaniyyah di bawah Muhammad Al-Fatih dan Salim 1, masing-masing kita dapati mempunyai gaya atau stail tersendiri dalam menjalankan kegiatan ketenteraan dan penaklukan. Namun mereka mempunyai kesamaan dari konteks mempertahankan kota suci.

Muhammad Al-Fatih yang kita kenali sebagai pembuka dan penakluk telah menunjukkan ketokohannya dalam corak ketenteraan dengan menawan dan membuka lembaran baru dalam sejarah setelah menakluki kota Constantinople yang merupakan pusat utama golongan Kristian Ortodoks. Setelah penaklukan ke atas kota tersebut, beliau telah menukarnya kepada Istanbul dan menjadikan kota suci tersebut sebagai pusat umat Islam. Muhammad Al-Fatih telah banyak melakukan transformasi dalam struktur ketenteraan Turki Uthmaniyyah dan inilah faktor utama yang menjadikan empayar tersebut berjaya menawan kota suci Constatinople.

Muhammad Al-Fatih telah memperkenalkan penggunaan meriam bersaiz gergasi yang mampu melontarkan peluru seberat 1400 paun. Baginda juga merupakan seorang yang bijak dalam mencanai taktik peperangan sehingga berupaya menakluki kota Constantinople yang merupakan pusat Kristian Ortodoks ketika itu. Selain itu, Muhammad Al-Fatih telah menyelamatkan seorang jurutera berketurunan yunani iaitu Urban dari tahanan Constantinople untuk merealisasikan binaan arltileri yang tiada tolok bandingnya pada ketika itu. Meriam gergasi tersebut diberi nama Meriam Urban sempena nama jurutera yang mengilhamkannya. Teknologi ini seterusnya digunakannya dalam meneruskan proses perluasan kuasa ke wilayah-wilayah lain.

Kejayaan inilah merupakan perintis kepada kejayaan Salim 1 kerana pembaharuan yang dilakukan dalam bidang ketenteraan oleh baginda telah menyumbang kepada kekuatan, keamanan dan kestabilan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Salim 1 pula tidak kurang hebatnya dalam ketenteraan. Baginda yang digelar “Yavuz” kerana sikapnya yang tegas dan ini menyumbang kepada perluasan empayar Turki Uthmaniyyah. Lebih-lebih lagi baginda telah berjaya menjadi pelindung kepada kota suci umat Islam iaitu Kota Mekah dan Kota Madinah. Selain itu, keluasan empayar kerajaan Turki Uthmaniyyah juga bertambah luas dari 2.500.000 km² kepada 6.500.000 km².

Kedua-dua tokoh ini juga mempunyai persamaan dalam mencongak strategi dan taktik perang. Sebagai contoh, penelitian yang terperinci akan sebelum mengisytiharkan perang ke atas sesebuah kerajaan iaitu dengan mengadakan perjanjian damai dengan sebelah pihak sebelum berperang dengan pihak yang lain. Kita dapat menilai bahawa Muhammad Al-Fatih dan Salim 1 mempunyai alternatif dan inisiatif tersendiri dalam menghadapi peperangan yang besar. Hal ini dapat dibuktikan dengan Muhammad Al-Fatih telah membuat perjanjian damai dan memuaskan hati “Prince-prince”, Raja Maghyar, Bosnia dan Republik Venesia.

Dalam perjanjian tersebut kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak serang-menyerang selama tiga tahun. Perjanjian damai tersebut membolehkan Muhammad Al-Fatih menumpukan perhatiannya ke atas usaha untuk menakluki Kota Constantinople. Begitu juga dengan Salim 1, baginda telah membuat perjanjian damai dengan Kerajaan Mamluk di Mesir. Baginda berbuat demikian kerana ingin memerangi kerajaan Shafawid yang diterajui oleh Shah Ismail terlebih dahulu.

Setelah mengadakan perjanjian damai, kedua-dua Sultan ini akan bertindak untuk menyerang kerajaan yang menjadi sasarannya. Muhammad Al-Fatih menyerang Kota Constantinople manakala Salim 1 menyerang kerajaan Syafawid. Keberkesanan perjanjian damai ini dapat dilihat apabila kedua-dua Sultan ini berjaya dalam ekspedisi perang mereka. Berdasarkan kenyataan tersebut, kita dapat melihat bahawa kedua-dua tokoh ini mempunyai kebijaksanaan yang dikagumi ramai kerana mereka sanggup membuat perjanjian damai meskipun ramai para pembesar tidak menyetujuinya kerana faktor kemegahan.

Namun Muhammad Al-Fatih dan Salim 1 berjaya mengembalikan nostalgia semasa zaman Nabi Muhammad ketika membentuk perjanjian damai dengan kafir Quraisy dalam perjanjian Hudaibiyah. Pada mulanya ramai sahabat baginda tidak menyetujuinya namun natijahnya umat Islam akhirnya berjaya. Peristiwa inilah menjadi ikutan kedua-dua tokoh ini dan percaya setiap tindakan Nabi ini ada hikmahnya. Lalu mereka menterjemahkan kejayaan tersebut ke dalam strategi mereka untuk menawan Constatinople dan Syafawid.

Muhammad Al-Fatih berjaya menakluki Kota Constantinople dan Salim 1 berjaya mengalahkan kerajaan Syafawid dan pemerintahnya Shah Islmail dibunuh. Kejayaan Salim 1 ini belum lagi dapat menyamai kejayaan Muhammad Al-Fatih kerana beliau berjaya menakluki kota suci orang Kristian yang dikawal dengan baik oleh orang Kristian pada ketika itu di samping mendapat bantuan daripada Pope Vatican.

Walaupun begitu, baginda akhirnya menyamai pencapaian datuknya iaitu Muhammad Al-Fatih apabila baginda berjaya menakluki kerajaan Mamluk di Mesir yang merupakan penaung kepada kota suci umat Islam dan akhirnya menjadi pelindung kepada kota suci umat Islam. Perkara ini merupakan persamaan yang ketara bagi kedua-dua tokoh ini kerana telah menakluki kota suci yang memberikan impak yang besar kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Kedua-dua tokoh ini juga mempunyai perbezaan dalam prinsip peperangan mereka. Sasaran Muhammad Al-Fatih lebih menjurus kepada Eropah iaitu Orang Kristian dengan menggunakan Semangat Ghazi yang berasaskan bangsa Turki manakala Salim 1 lebih menjurus kepada Mazhab Syiah dan menekankan tanggungjawab orang Islam terhadap dunia umat Islam yang berbahasa Arab. Perbezaan prinsip ini telah membawa kepada perbezaan sasaran kerajaan yang hendak diperangi oleh Muhammad Al-Fatih dan Salim 1.

Muhammad Al-Fatih lebih menjurus kepada memerangi orang Kristian dan ini terbukti apabila baginda menakluki Kota Constantinople yang merupakan pusat Kristian Ortodoks ketika itu manakala Salim 1 lebih menjurus kepada kerajaan Syafawid yang berteraskan Mazhab Syiah. Mazhab Syiah ini merupakan ajaran yang berbeza dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu kerana kerajaan Turki Uthmaniyyah mengamalkan ajaran Al-Quran dan As-sunnah.

Umum mengetahui bahawa Muhammad Al-Fatih merupakan pemimpin yang telah dijanjikan kemenangannya. Hal ini dapat kita lihat sewaktu baginda dilahirkan, ayahnya Sultan Murad II sedang membaca Al-Quran dan tepat membaca Surah Al-Fath ayat pertama yang membawa maksud “sesungguhnya kami memberikan kemenangan yang nyata kepada kamu”.

Muhammad al-Fatih digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat. Beliau lebih mengutamakan urusan negara dan masyarakat mengatasi kepentingan diri. Pada masa yang sama, beliau sering mendampingi ulama-ulama dan ilmuwan. Kedudukannya sebagai Sultan tidak menghalang minatnya untuk terus menimba ilmu dan pengalaman. Kehidupan beliau sebagai pemimpin digambarkan cukup sederhana. Malah beliau sangat memusuhi pembaziran. Selain kejayaan dalam bidang ketenteraan dan penaklukan wilayah, Muhammad al-Fatih juga berjasa dalam mengembangkan dakwah Islam ke benua Eropah.

Melalui akhlak dan keperibadian beliau, ramai yang tertarik dan memeluk Islam. Hal ini berlaku pada hari kemenangan tenteranya, iaitu apabila beliau telah mengampunkan penduduk Kristian Kota Constantinople. Dengan sikap toleransi yang ditunjukkan itu, menyebabkan ada dalam kalangan paderi terus menyatakan keislaman mereka.

Manakala Salim 1 pula menghadapi perkara yang sama namun dalam keadaan yang berbeza iaitu sebelum baginda menghembuskan nafas terakhir baginda telah membaca Surah Yassin dengan sahabatnya iaitu Hasan Jan dan ketika baginda menghembuskan nafas yang terakhir baginda dan Hasan Jan sedang membaca surah Yassin ayat ke-58 yang membawa maksud “aman”. Hal ini menandakan baginda telah mangkat dalam keadaan aman. Persamaan ini menandakan kedua-dua sultan ini mempunyai keberkatan daripada Allah S.W.T. dalam menjalankan tugasnya sebagai sultan dan juga sebagai simbol bahawa mereka menjalankan tugas mengikut ajaran Allah S.W.T. yang sebenarnya sama ada dalam pentadbiran, ketenteraan ekonomi dan juga sosial.

Salim 1 juga memiliki karismanya yang tersendiri dalam mengekalkan kemerdekaan empayar Turki Uthmaniyyah di mana beliau telah menggubal undang-undang yang digelar Qanun Nammah Mesir di Mesir bagi mengelakkan orang Yahudi menjalankan kegiatan penjajahan mereka ke atas orang Islam di Palestin.

SOSIAL DAN EKONOMI
Muhammad Al-Fatih dan Salim 1 merupakan pentadbir yang tidak mengetepikan bidang ekonomi dan melalui perluasan wilayah telah menjana ekonomi Turki Uthmaniyyah. Dengan penguasaan terhadap Constatinople, empayar Turki Uthmaniyyah berjaya menguasai jalinan perdagangan antara Timur dan Barat yang mana seluruh pedagang datang dari Timur seperti India, China, dan dari Barat iaitu Perancis, Britain, dan sebagainya.

Selain itu, penguasaan terhadap Laut Merah, Laut Mediteranean dan juga Laut Hindi juga membuka peluang kepada kerajaan Turki Uthmaniyyah dalam urusan perdagangan dan pengutipan cukai daripada perdagangan yang dijalankan di kawasan-kawasan tersebut dan pelaksanaan kutipan cukai ini dijalankan oleh leftenan-leftenan.

Dalam aspek sosial pula, kedua-dua tokoh ini telah banyak membuat pembaharuan. Langkah pertama Muhammad Al-Fatih lakukan ialah menukarkan status gereja Ayasofya kepada masjid yang diberi nama Masjid Ayasofya. beliau telah membina 11 buah lagi masjid yang mana salah satu masjid tersebut diberi atas nama beliau iaitu Masjid Al-Fatih. Selain itu, bagi menjamin kesejahteraan rakyat, beliau telah membina banyak bangunan seperti tempat mandi awam, tempat mandi mayat, perpustakaan dan sebagainya.

Salim 1 juga membina kemudahan-kemudahan kepada rakyatnya contohnya hospital, masjid dan sekolah. Di samping mempunyai masa singkat, dan sibuk dengan ekspedisi perang, baginda turut tidak mengabaikan keperluan rakyatnya. Salim 1 pernah menyumbangkan wang kepada rakyatnya bagi menampung keperluan mereka. Dapat kita lihat bahawa pemerintahan kedua-duanya amat mementingkan kebajikan rakyatnya sekali gus menjurus kepada pengekalan kemajuan empayar Turki Uthmaniyah.


KESIMPULAN
Sudah nyata kepada kita bahawa peranan serta ketokohan Muhammad Al-Fatih II dan Salim 1 telah mencetuskan era kegemilangan empayar Turki Uthmaniyyah. Kejayaan Muhammad Al-Fatih menawan Constatinople melalui strategi dan taktik ketenteraan yang luar biasa di samping mengaplikasikan kepentingan ajaran Islam dalam peperangan berjaya mengangkat martabat empayar tersebut.

Kegemilangan tersebut diwarisi oleh Salim 1 yang berjaya menjadi pelindung kepada Mekah dan Madinah melalui pegangan sebagaimana datuknya. Inilah persamaan kedua-dua tokoh ini walaupun masing-masing mempunyai matlamat peperangan yang agak berbeza dari segi kerajaan yang hendak diperangi.

Dengan penguasaan sepenuhnya terhadap Constatinople, Muhammad Al-Fatih sesuai menerima jolokan pembuka dan penakluk kerana berjaya membuka kota yang sebelumnya pusat umat Kristian Ortodoks dengan penaklukan ke atasnya. Kejayaan Salim 1 merobohkan kerajaan Mamluk di Mesir telah menjadikannya pelindung kepada Mekah dan Madinah. Implikasinya beliau digelar sebagai pelindung kota suci Islam dan mengukir sejarah sebagai khalifah pertama dalam empayar Turki Uthmaniyyah.

Konklusinya kedua-dua tokoh inilah merupakan pemangkin kepada era kegemilangan empayar Turki Uthmaniyyah melalui dasar-dasar pemerintahan yang berorientasikan kepada perluasan empayar di samping memiliki ketokohan yang hebat. Walau sehebat mana kegiatan penaklukan yang dijalankan, tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat tetap dititikberatkan oleh Muhammad Al-Fatih II dan Salim 1.

Sewajarnya para pemimpin haruslah menjadikan kedua-dua tokoh Islam ini sebagai panduan dalam menguruskan pemerintahan sesebuah kerajaan mahupun empayar.

BIBLIOGRAFI
  • Abdul Karim Abdullah dan Hamidah Samsudin, Sejarah Dunia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1976.
  • Al-Hikmah, Al-Quran dan Terjemahan, Bandung; Penerbit Diponegoro, 2005.
  • Dr. Shafiq A.Mughni, Sejarah Kebudayaan Islam di Turki, Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1997.
  • Hamka, Sejarah Umat Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Antara, 1997.
  • Hasanuddin Ahmed, A brief History of Islam, New Delhi: Goodword Private Ltd, 2004.
  • John L. Espito, The Islamic Threat Myth Or Reality, New York: Oxford University Press, 1992.
  • Lois A. Aroian, Richard P. Mitchel (diterjemahkan oleh Mohammad Redzuan Othman), Timur Tengah dan Africa Utara Moden, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
  • Masudul Hasal, History of Islam (Revise Edition) Vol. II (Classic Period 1206-1906 C.E), New Delhi: Hanes Publication. 2006.
  • Mehmet Maksudoglu, Osmanli History 1289-1922, Malaysia: International Islamic University, 1999.
  • Muhammad Yusoff Khandalawi, Muntakhab Ahadith, Kuala Lumpur: Klang Book, 2004.
  • Norman Itzkowitz, The World Of Islam, London; Thames And Hudson Ltd, 1976.
  • Sultan Selim The Excellent (1470 - 1520 ), http://www.ottomanonline.net/sultans/9.html, 10. Mac 2009.
[ Baca Seterusnya... ]

Saturday, March 13, 2010

Meneladani Ketokohan Sultan Muhammad al-Fateh, HAMKA dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi



GPTD ingin menjemput anda sekalian ke Wacana Ilmu GPTD Online seperti berikut :

Tajuk:

"Meneladani Ketokohan Sultan Muhammad al-Fateh, HAMKA dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi; Satu Diskusi oleh Relawan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD)"


Pembicara :

MODERATOR : Saudara Najmuddin Mohd Nawi, Setiausaha Agung GPTD

a. Saudara Jufitri Joha, Pengerusi GPTD

b. Saudara Muhammad Suhail Ahmad, Presiden GPTD, Relawan GPTD di Guongzhou,
Pengerusi Kelab Laksamana Cheng Ho GPTD

c. Saudara Izwan Suhadak, Penasihat Kelab Hamka, GPTD Unisel, Naib Presiden GPTD

d. Saudara Faiz Mas Darwin, Relawan GPTD di Istanbul

e. Saudara Bayfateh Faizul Afzan, Pengerusi Grup al-Fateh, Pengerusi GPTD Kelantan

f. Saudara Zul Amin, Pengerusi Generasi Jil Salahudiin Al-Ayyubi

g. Saudara Shazni Abdullah, Relawan GPTD di Syria, Timbalan Presiden GPTD

h. Saudara Addawiyah Salim, Koresponden GPTD di UK

Tarikh: 14 Mac 2010/28 Rabiulawal(Ahad-Tarikh United Kingdom)
15 Mac/29 Rabiulawal(Isnin-Tarikh Malaysia)

Masa: 8 malam - 9.15 malam (Waktu UK) / 4 pagi - 5.15 pagi (waktu Malaysia)
Boleh periksa masa anda melalui: http://www.timezoneconverter.com/cgi-bin/tzc.tzc

Medium Perbincangan: http://misgtv.blogspot.com/.(Sila buka web site ini untuk maklumat 'online') Room & Online TV akan dibuka dari jam 7:00 malam waktu UK.





[ Baca Seterusnya... ]

Friday, March 12, 2010

WASIAT OSMAN GAZI KEPADA ANAKNYA ORHAN

Sultan Osman Gazi (1299 – 1324)

Ketika gering di pembaringan, Sultan Osman Gazi telah menyampaikan wasiatnya yang menjadi garis panduan dan ikutan para Sultan yang meneruskan teraju pemerintahan Osmaniyyah selepasnya. Wasiat yang disampaikan kepada anaknya Orhan (Orkhan) Gazi itu telah dicatat oleh muarrikh (pencatat sejarah) bernama Asik Celebi (Aa-shik Chelebi). Wasiatnya berbunyi:


“Wahai anakku, janganlah sekali-kali kamu menyibukkan diri melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah Tuhan semesta alam. Jika kamu menghadapi sebarang kesulitan di dalam pemerintahan, maka bermesyuaratlah kamu dengan pada Ulama’ untuk mencari jalan penyelesaian”



“Wahai anakku, rendahkanlah dirimu dengan kemuliaan kepada orang-orang yang mentaatimu serta peliharalah kebajikan tenteramu. Janganlah sekali-kali kamu diperdayakan oleh Syaitan dengan (kekuatan) tentera dan hartamu. Dan janganlah kamu sekali-kali menjauhkan diri daripada Ahli Syariah…”


“Wahai anakku, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa matlamat kita adalah keredhaan Allah Tuhan semesta alam. Sesungguhnya jihad itu menyebarkan cahaya sinaran agama kita ke segenap penjuru. Dengan demikian itulah terhasilnya Mardhatillah Jalla Jalaaluh…”

“Wahai anakku, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berperang kerana syahwat mahukan kuasa atau menawan manusia. Sesungguhnya kita ini hidup dengan Islam dan dengan Islam jualah kita mati. Dan hakikat inilah wahai anakku, kamu itu adalah ahlinya!”

[ Baca Seterusnya... ]