Thursday, March 12, 2009

Menjejaki hubungan dua hala antara Alam Melayu dan Khilafah Uthmaniyah.



Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu menukilkan bahawa kedatangan Islam di Kepulauan Melayu merupakan satu peningkatan akal dan budi orang Melayu kerana transformasi besar yang telah mengubah world view dan sistem nilai pemikiran orang Melayu kepada konsep yang lebih luas dan mulia sehinggakan pendidikan yang pada asalnya diswastakan kepada golongan bangsawan akhirnya dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.


Islam yang melimpah rahmatnya di bumi Farsi terus merentasi Bilad al-Sham dan Mesir. Dan juga melewati al-Hind dan Tanah Besar China sebelum sampai ke Bilad al-Jawi. Perubahan yang baru dalam melihat dunia telah dipasakkan oleh Islam kepada jiwa penganutnya merangkumi faham ilmu, ekonomi dan keadaan sosial pada ketika itu. Mengikut catatan sejarah klasik yang dipercayai kesahihannya mengatakan bermulanya era pengislaman Alam Melayu melalui jalan perdagangan. Penulis optimis bahawa pedagang Arab yang menyampaikan Islam di Alam Melayu telah melaksanakan misi Islam secara bijaksana setelah melihat menebalnya fahaman Hinduisme yang menjadi pegangan Alam Melayu sejak sekian lama. Strategi yang digunakan mereka bukan terus menyebarkan secara membuta tuli tanpa menyelidiki status sosial masyarakat terdahulu bahkan mereka cuba mengislamkan kepala masyarakat iaitu Raja yang menjadi ‘pusat’ ketaatan seluruh rakyat dan payung keselamatan mereka. Parameswara yang diislamkan menukar nama kepada Sultan Iskandar telah berjaya mempengaruhi rakyat bawahannya. Begitu juga terjadi kepada kerajaan Pasai dan Acheh.


Namun, kemakmuran Melaka sebagai lokasi strategik perdagangan dan pusat penyebaran Islam telah menarik minat Portugis untuk menguasai jalan perdagangan dan pada masa sama menjalankan misi kristinianisasi ke atas majoriti muslim. Melaka masyhur sebagai pusat kegemilangan perdagangan pada ketika pemerintahan Sultan Mansor Syah (1458-1477). Perancangan diatur oleh pihak kolonialis Barat untuk merampas Alam Melayu dan Melaka tidak terkecuali menerima penentangan hebat dari soldadu Portugis. Di tambah pula dengan kelemahan pentadbiran, masalah dalaman dan kelemahan militari yang timbul pada era Sultan Mahmud Syah. Dan akhirnya, tahun 1511 menyaksikan Melaka yang telah berkubu selama sebulan daripada serangan Portugis jatuh dan rebah dan lenyaplah identiti Kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan pada 1400.


Pada zaman klasik Alam Melayu, Acheh dilihat mempunyai hubungan diplomatik yang kuat dengan Khilafah Uthmaniyah. Ini dibuktikan dengan fakta-fakta berikut:
• Sultan Selim II (Khalifah Uthmaniyah) telah menghantar bantuan armada ketenteraan untuk membebaskan Melaka daripada Portugis pada 1519.
• Menyedari ketenteraan Turki yang amat diperlukan untuk membebaskan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah al-Kahhar (pemimpin Acheh) telah membentuk pasukan elit untuk membebaskan wilayah di utara Sumatera dengan dibantu oleh Hamid Khan, ketua turus angkatan perang Turki pada 1539.
• Penubuhan Akademi Ketenteraan, Askeri Beytul Mukaddes yang diubah menjadi ‘Askar Baitul Maqdis’ dengan kerjasama khilafah uthmaniyah dan kerajaan Islam Acheh untuk melatih pejuang-pejuang serta pahlawan terbilang.
• Nur Al-Din Al-Raniri dalam Bustan Al-Salathin meriwayatkan, Sultan Ala Al-Din Riayat Syah al-Kahhar mengirim utusan ke Istanbul untuk mengadap Khalifah.

Penulis mengamati bahawa hubungan yang akrab antara Alam Melayu dan Khilafah Uthmaniyyah yang dipaparkan telah berjaya mengurangkan pengaruh imperialisme Barat yang semakin tamak dalam menguasai sumber kekayaan tanah jajahannya. Justeru, beberapa teori dapat dicetuskan hasil pengamatan yang boleh dikongsi malah dikritik sekiranya terdapat kekurangan:
• Kerajaan Islam terdahulu telah mengambil jalan yang terbaik dalam membentuk ketumbukan yang utuh untuk melebarkan pengaruhnya dalam memastikan empayar islam terus berkembang. Kekuatan pertahanan Melaka dan Acheh sebenarnya hebat dalam sejarah perkapalan dan peperangan dalam rekod catatan sejarah dan mana mungkin sebenrnya boleh musnah dan tewas dengan persenjataan picisan Barat.
• Kekuasaan khilafah Uthmaniyah pada awal kegemilanganya telah menjadikan cegah rintang kepada sikap haloba penjajah Barat untuk menguasai lebih banyak kerajaan Islam.
• Sejarah kadangkala ditulis oleh mereka yang mendakwa membawa perubahan dan golongan yang 'menang'. Sedangkan mereka yang telah berjuang dan membawa panji kebenaran Islam serta dilabelkan sebagai golonagn kiri mahupun pemberontak tiada tempat dalam catatan sejarah. Dan jangan memandang kebanyakn fakta yang ditulis dalam buku sejarah sebagai kayu ukur menilai kebenaran.
• Negara bangsa ciptaan Barat yang mengilhamkan pasport dan sempadan memisahkan negara lain telah membuang semangat untuk hidup serumpun dalam alam Melayu. Tragedi Tak Bai yang berlaku berjiran dengan Mlaysia juga tiada suara dan bantuan dihulurkan tanda persaudaraan rumpun dan agama.

Dalam kita menyambut tahun kemerdekaan yang ke 52 pada kali ini, generasi yang sedang menikmati nikmat pembebasan lahiriah ini perlu diisi sebaik mungkin supaya sambutan setiap tahun tidak dijadikan semata-mata untuk sambutan tahunan yang kosong penghayatan malah perancangan untuk fasa kedua selepas 50 tahun kedua bagi memperkasakan generasi dan negara dapat direalisasikan.

Sebenarnya, sejarah Alam Melayu telah digelapkan oleh mereka yang dengki dan usaha untuk ops pembersihan fakta sebenar dalam buku sejarah berjaya dilakukan oleh Barat dengan mencuri manuskrip asal. Dan yang tinggal hanya sisa sejarah yang tidak penting dan kompilasi sejarah purba Mesolitik, neolitik dan Zaman Batu..Adakah ini sahaja yang hebat di mata kita?

No comments: